aq di bumi hijau

aq di bumi hijau

Sabtu, 27 November 2010

kopi bergula bagus untuk otak

Satu kajian terbaru menunjukkan minum secawan kopi yang bergula boleh meningkatkan kemampuan otak,
Saintis-saintis di Universiti Barcelona di sini mendapati pengambilan kafeina dan gula pada masa yang sama meningkatkan prestasi otak.
Para penyelidik kini percaya kafeina dan gula itu meningkatkan fungsi otak seperti daya ingatan.
Hasil kajian itu diperoleh selepas 40 sukarelawan diuji dengan pengambilan kopi bergula, kopi tanpa gula dan air masak.
Menurut kajian itu, kopi manis merupakan cara terbaik untuk menyediakan otak bagi menghadapi cabaran pekerjaan.

Isnin, 22 November 2010

Filem Harry Potter cecah kutipan RM190.5 juta

Filem Harry Potter and the Deathly Hallows: Part 1 berjaya mencatat kutipan sebanyak AS$61.2 juta (RM190.5 juta) pada hari pertama tayangannya.
Tayangan pembukaan pada hujung minggu lalu mencatatkan kutipan terbaik dalam siri filem Harry Potter sebelum ini.
Tayangan pada Jumaat lalu, meletakkan Deathly Hallows di landasan yang betul untuk melepasi kutipan filem sebelumnya, Harry Potter and the Goblet of Fire yang mencatatkan jualan tiket mencecah AS$102.7 juta (RM319.7 juta) pada tahun 2005.
Filem terbaru Harry Potter itu menduduki tempat kelima dalam carta box-office bagi kutipan terbesar pada hari pembukaan.
Ia berada di belakang filem The Twilight Saga: New Moon yang mencatat kutipan sebanyak AS$72.7 juta (RM226.3 juta).
Sementara itu, filem The Twilight Saga: Eclipse mendapat kutipan sebanyak AS$68.5 juta (RM213 juta), filem The Dark Knight sebanyak AS$67.2 (RM209.1 juta) dan filem Transformers: Revenge of the Fallen sebanyak AS$62 juta (RM193 juta).
Francais filem Harry Potter telah menjana pendapatan sebanyak AS$5.5 bilion (RM17.1 bilion) sejak filem pertamanya ditayangkan pada tahun 2001.
Filem terbaru Harry Potter itu adalah berdasarkan bahagian pertama novel ketujuh Harry Potter karya J.K Rowling.
Filem terakhir, Deathly Hallows: Part 2 dijangka ditayangkan pada Julai tahun depan

Sabtu, 20 November 2010

mekah dilanda banjir

MEKAH - Beberapa kawasan di Mekah kelmarin dilanda banjir ekoran hujan lebat menyebabkan sebahagian jemaah meredah air banjir namun ia tidak melibatkan kawasan yang menempatkan Kaabah.
Sebelum ini, hujan turun dengan lebat di Mina pada Rabu lalu semasa para jemaah melontar jamrah sebagai tanda merejam syaitan.
Hujan dan angin itu menyebabkan beberapa buah pokok tumbang di tepi sebatang jalan raya di Mekah.
Lebih 2.8 juta jemaah haji berhimpun di Mekah untuk mengerjakan rukun Islam yang wajib dilakukan oleh umat Islam yamg mampu.
Bagaimanapun, cuaca di Mekah semalam yang merupakan hari terakhir jemaah mengerjakan haji berada dalam keadaan baik selepas hujan turun.
Sementara itu, pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah menjalani lebih banyak ujian perubatan selepas baginda mengadu sakit belakang.
Menurut agensi berita SPA, baginda diminta supaya berehat oleh doktor-doktornya.
Pada Selasa lalu, kerajaan Arab Saudi mengeluarkan kenyataan dengan menyatakan tahap kesihatan Raja Abdullah berada dalam keadaan baik.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas baginda mengadu sakit kaki.
Umur Raja Abdullah adalah di antara 86 dan 87 tahun
Kestabilan politik di negara beraja itu amat penting kerana Arab Saudi mempunyai lebih satu perlima simpanan minyak dunia.
Kerajaan Arab Saudi merupakan sekutu rapat AS dan merupakan pemegang aset terbesar dolar AS.
Pada 13 November lalu, ekoran keadaan kesihatan Raja Abdullah itu, Menteri Dalam Negeri, Putera Nayaf diberikan tugas memantau urusan perjalanan haji pada tahun ini.